Hukuman gantung sampai mati untuk pengkhianat jual MyKad

HUKUMAN gantung sampai mati adalah yang paling sesuai untuk pengamal rasuah bagi kes penjualan kad pengenalan kepada warga asing, kata Pemantau Rasuah Malaysia (MCW).

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, hukuman berat itu pernah disuarakan oleh bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohamad Shukri Abdull.

Jais berkata, perbuatan salah guna kuasa untuk kekayaan diri dan rasuah ini memberi banyak kesan buruk kepada negara.

“Inilah yang dikatakan ‘harapkan pegar, pegar makan padi’.

“Harapkan pegawai kerajaan terutamanya pegawai di agensi penguatkuasaan yang berintegriti namun sebaliknya telah menjual maruah diri mereka kerana rasuah dan menjadi dalang yang ‘menjual negara’.

“Maka betullah kata Datuk Seri Shukri, mantan KP SPRM bahawa hukuman yang paling sesuai kepada pengamal rasuah seperti ini wajiblah dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya dalam satu kenyataan.

Jais mengulas penahanan 20 individu termasuk pegawai atasan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang yang disyaki menjual kad pengenalan kepada warga China baru-baru ini.

Sehubungan itu, Jais berkata, pihaknya memujui tindakan pantas polis menahan suspek dalam kes itu selepas aduan dibuat oleh orang awam menerusi media sosial.

Katanya, kumpulan pendatang itu membawa banyak masalah kepada negara termasuk penyakit berjangkit, masalah sosial, budaya pengotor, budaya samseng dan masalah tukaran wang asing.

Ini kerana katanya, pendapatan mereka tidak menjana ekonomi tapi sebaliknya dihantar pulang ke negara mereka.